Wednesday 16 September 2015

Tempat 'cari makan'.

Kompleks Yik Foong ini siap dibina sekitar Tahun 1983. Dahulunya dikenali sebagai "Glory". Banggunan 4 tingkat ini pusat jualan pelbagai barangan seperti kasut, beg, telefon bimbit, pakaian dan  yang paling popular barangan komputer.

Aku nak cerita sikit kenangan dengan KYF ni. Semasa belajar di Kolej, aku berkerja sementara di salah sebuah Kedai Alatan Sukan, Pusat Sukan Juara. Kerja aku sebagai jurujual serta pemasang tali reket. Kiranya beruntung aku dapat belajar memasang tali raket kat kedai tu. Ianya salah satu kedai yang agak popular dan jadi tumpuan pemain-pemain badminton dan tenis untuk menukar tali raket mereka. Bos aku terdiri dari 3 orang. Mr. Lee, Mr. Ong (mendiang) dan Mr 'Panjang' Lee. Sudah tentunya mereka berbangsa Cina. Dari mulanya aku hanya berkerja sementara, akhirnya 10 tahun jugalah aku tersangkut di situ. Sepanjang tempoh tersebut, banyak yang aku dapat belajar. Cara berniaga orang Cina, cara berurusan dengan pelanggan dan pekerja, serta sikap mereka terhadap aku, Si Bangsa Melayu. Tiada gejala 'racist' yang berlaku terhadap aku. Semuanya okey sahaja. Dari aku keluar bersolat ke Super Kinta hinggalah beberapa ketika aku dipelawa bersolat sahaja di dalam kedai. Tak pernah sekali pun hak aku dinodai. Apatah lagi hak mereka nak aku persetankan. Hormat itu percuma andai ia diamalkan dengan penuh hormat.

Jadi, kat sini aku hanya berkongsi pengalaman 10 tahun aku. 'Racist' ini satu penyakit hati dan mulut. Dari prasangka dalam hati, dari kata-kata tak terkawal akhirnya akan jadi salah faham yang tak berkesudahan. Kenali setiap orang tak kira bangsanya. Jahat dan baik adalah perlakuan individu yang tak sepatutnya dicalitkan pada semua.

Friday 11 September 2015

St. Michael, Ipoh

Setelah 78 tahun beroperasi, aku telah berpeluang menyambung pelajaran di Sekolah ini pada tahun 1990 hingga 1994. Kata orang sekolah ini antara yang ternama dan mempunyai rekod baik di Ipoh. Aku belajar di sini atas tiket 'Rancangan Khas' dan ditempatkan di asrama yang kelihatan ala-ala filem seram. Berjalan sorang-sorang pada waktu malam agak menegakkan bulu roma. Atas keberanian dan semangat kental, tiada apa-apa yang terjadi sepanjang aku tinggal di situ.

Sekolah ini tiada 'awek' kecuali guru-guru dan pelajar tingkatan 6. Kekadang ada di antara pelajar yang cuba menarik perhatian dengan bertukar menjadi 'awek jadian'. Itu antara perkara yang paling menyeramkan. Seram dan rasa mau muntah.

Akibat malas belajar, selepas SRP aku ditinggalkan rakan seasramaku yang melanjutkan pelajaran mereka ke MRSM. Korang memang kejam. Pada tahun 1994, selepas SPM yang 'boleh tahan' aku pun menamatkan kisah waktu sekolah ku di sini. Keluar menempuh hidup yang lebih ramai 'awek' dan hantu. 'Awek jadian' juga telah lenyap di telan zaman.

Wednesday 9 September 2015

Lakaran Bazar Bulat Ipoh

Yau Tet Shin Market atau lebih dikenali sebagai Bazar Bulat ini sangat terkenal di era 80-an. Ianya pusat menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti pakaian sekolah, beg, barangan elektrik dan sebagainya. Di sini juga tapak bermulanya nasi ayam yang terkenal di Ipoh, Nasi Ayam Fuziah. Sehingga kini ianya masih beroperasi di lokasi yang berbeza. Di sini juga aku mula mengenal erti 'jamming'. Selepas waktu sekolah, dengan beberapa orang sahabat, kami berkumpul dan 'jamming' di studio paling lejen, Studio SYJ. Main apa pun tak reti, janji 'enjoi'. Banggunan ini dah dirobohkan dan terkini sebuah hotel telah pun dibangunkan. Sebelum itu, ianya menjadi tapak parkir kereta. Sayang, ianya tak dikekalkan. Hanya tinggal kenangan, tinggal sejarah. Dan hingga kini aku belum pernah terjumpa rekabentuk banggunan yang unik sepertinya lagi.

Monday 7 September 2015

Video pembikinan lakaran "Belakang Lorong Loken".

"Belakang Lorong Loken"


Proses melakar seperti di dalam video di atas menggunakan terus pen sebagai medium utama. Tiada lakaran pensel sebelumnya. Ini dapat melatih kelembutan tangan untuk dapatkan 'strok' yang diidamkan. Latih dan terus berlatih.


Sunday 6 September 2015


Aku ada sisi lain selain dari seorang Penangkap Gambar Perkahwinan. Aku suka melukis. Melukis apa saja. Apa saja yang terlintas dalam fikiran atau depan mata. Depan mata yang terbuka luas dengan pandangan mengarah ke pelbagai arah. Arah yang kekadang nampak menarik dan indah. Indah itu buat tatapan semua. Semua yang ada sudi jadi peminat.
 
Facebook